"Berhati-hati menerima hadith, jangan sampai menjadi anti hadith.‎.."

Sebuah Pengenalan

Al-Quran dan hadith merupakan sumber utama Islam yang disepakati. Ummah akan dianggap berada di atas landasan yang betul sekiranya mereka menjadikan al-Quran dan sunnah Nabi SAW sebagai panduan. Timbulnya golongan yang mempertikaikan kewibawaan sunnah atau hadith merupakan satu cabaran bagi umat Islam. Ini kerana dalam banyak hal, penjelasan dalam pelbagai bentuk mengenai kehendak ayat al-Quran hanya diperoleh daripada orang yang paling arif mengenainya, iaitu Nabi SAW sendiri.

Oleh yang demikian, golongan yang hanya percaya dan yakin dengan al-Quran sahaja, tidak kepada sunnah atau hadith adalah bercanggah dengan kesepakatan ulama’ dan ummah. Golongan ini dikatakan dengan pelbagai nama seperti ahl al-Quran, al-Qur’aniyyun dan sebagainya.


Tuesday, 7 October 2014

Kewujudan Golongan Anti Hadis Satu Yang Mengaibkan

Share it Please
KERAJAAN Malaysia dan ahli politik mesti mengecam ajaran sesat yang menolak keperluan kepada hadis, menolak kesahihan hadis sekaligus menolak baginda nabi Muhammad SAW sebagai pentafsir ayat-ayat mujmal dan ringkas dalam al-Quran.

Menolak hadis bererti menolak al-Quran kerana ALLAH memerintahkan nabi menjelaskan al-Quran kepada manusia. Penjelasan nabi datang dalam bentuk hadis dan sunnahnya.  Lihat ayat dari surah An-Nahl ayat ke 44 dan 64. Antaranya firman ALLAH:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan KAMI tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang KAMI beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 44)

Juga firman ALLAH:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan KAMI turunkan kepadamu al- Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. ( An-Nahl : 64)

Nabi jadi ikutan melalui hadisnya

Al-Quran mengarahkan kita menturuti Nabi dan mengambilnya sebagai ikutan sebagaimana disebut oleh ALLAH di dalam surah Al-Ahzab ayat ke-21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Ertinya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikir kepada ALLAH. ( Al-Ahzab : 21)

Tiba-tiba golongan anti hadis di Malaysia berkata hadis patut ditolak, sedangkan tanpa hadis nabi dan perincian kehidupannya tiada siapa mampu mengambilnya sebagai ikutan.

Taati Rasulullah bererti hadis sampai

ALLAH turut menwajibkan kita mentaati RasulNYA, sebagaimana termaktub arahan ini di dalam al-Quran, contohnya ayat surah Al-Nisa 13:

تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ وَمَن يُطِعِ اللّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya : (Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari ALLAH. Barang siapa taat kepada ALLAH dan Rasul-NYA, nescaya ALLAH memasukkannya ke dalam surga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.

Mentaati Rasul bererti hadis Rasulullah akan dijadikan oleh ALLAH untuk sampai kepada manusia bagi cabaran manusia yang beriman untuk mentaatinya dan ia adalah termasuk di dalam erti mentaati ALLAH.

Jelas, sesiapa menolak hadis adalah juga menolak al-Quran. Mereka yang berkepercayaan begini boleh membawa kepada murtad.

Sesiapa yang meragui kewujudan hadith lambat laun tentunya akan meragui al-Quran kerana al-Quran disampaikan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Melalui kaedah dan metod yang hampir sama juga pelbagai hadis sampai kepada kita. Iaitu melalui hafazan para sahabat dan penulisan kemudiannya dan diturunkan dari generasi ke generasi. Demikian juga hadis, bezanya hanyalah jumlah yang meriwayatkan hadith tidak seramai al-Quran.

Namun apabila telah ALLAH janji menjaga al-Quran dari penyelewengan sebagaimana disebut dalam surah Al-Hijr ayat ke-9, maka amat mesti pula ALLAH menjaga penjelas kepada maksud al-Quran iaitu Rasulullah dan hadis-hadisnya.

Hasil dari itu, jika kerajaan sebelum dan ketika ini bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap Syiah, kumpulan anti hadis ini adalah sama menyeleweng dan berbahaya. Maka wajiblah pihak berkuasa agama dan ahli politik mengambil tindakan dan bukan diberi muka pihak anti hadis berprogram di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri.

Ini satu yang mengaibkan Malaysia. Syiah ada negara seperti Iran namun kita bertegas mengambil tindakan, namun kumpulan sesat anti hadis langsung tiada negara hatta daerah di dunia ini yang menyokongnya, malangnya tindakan tidak cukup tegas pula.

Semoga umat Islam terpelihara dari doktrin sesat anti hadis yang dibawa oleh Kassim Ahmad dan pengikutnya. Inilah antara punca yang menjadikan umat Islam semakin lemah dan semakin mudah terjejas pegangannya.

DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN


No comments:

Post a Comment

Penghargaan

Penghargaan
Dr. Khadher Bin Ahmad, Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,. Beliau adalah Pensyarah bagi subjek Pengajian al-Quran dan al-Hadith dalam aplikasi ICT.
Blog ini merupakan kerjasama oleh 7 ahli yang merupakan pelajar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Blog ini ditubuhkan bagi menyempurnakan tugasan bagi subjek Pengajian Al-Quran Dan Al-Hadith Dalam Aplikasi Ict (Quranic And Hadith Studies In Ict Applications)

Follow The Author