Terdapat beberapa faktor tertentu
yang dikemukakan bagi menolak autoriti hadis sebagai sumber perundangan Islam.
Namun, ia boleh ditinjau melalui tiga sudut pandangan iaitu akidah, syariah dan
akhlak. Antaranya ialah:
Akidah
a) Kassim Ahmad menganggap hadis
merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. dan
tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan Islam. Malahan, ia dianggap
muncul selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. lalu dikaitkan dengan Baginda.
b) Al-Quran adalah wahyu yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui Malaikat Jibril serta dianggap
telah lengkap, sempurna dan terperinci. Oleh itu, al-Quran tidak memerlukan
sebarang bentuk penghuraian mahupun pentafsiran.
c) Beliau juga beranggapan bahawa
umat Islam telah menyeleweng dari ajaran Tuhan yang sebenar. Ajaran Tuhan yang
sebenar adalah semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Nabi terakhir serta
yang dibawa oleh Baginda ialah al-Quran dan tidak ada yang lain daripada itu.
d) Malahan, hadis dianggap
sebagai satu catatan sejarah yang boleh dan perlu dikaji oleh para penyelidik
untuk memahami dan menilai zaman itu.
e) Lafaz dua Kalimah Syahadah
yang diucapkan oleh umat Islam kini adalah dilarang oleh al-Quran kerana syahadah
yang diwajibkan hanyalah لا إله إلا الله .
f) Beliau turut menolak
kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar yang merupakan salah satu perkara terpenting
dalam Rukun Iman. Hanya kerana ia dinyatakan melalui hadis lalu dianggap
bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam al-Quran.
g) Seterusnya, beliau
menghuraikan maksud ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 59 iaitu:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang
beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah…
Beliau menyatakan bahawa kita
disuruh mentaati Rasul ialah mentaati perutusannya dan bukan mentaati Nabi
Muhammad S.A.W.
i)
Dengan merujuk surah
al-Ahzab ayat 21:
ii) Maksudnya: Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik,..
Beliau menyatakan bahawa ayat ini
tidak bermaksud untuk merujuk kepada gerak geri dan kelakuan Nabi Muhammad
S.A.W. seperti cara beliau makan, pakai, tidur dan sebagainya. Ia sebenarnya
merujuk kepada keyakinan, pegangan, pendirian dan perjuangan. Malahan, semua
kelakuan dan gerak geri
seseorang itu ditentukan oleh
faktor-faktor seperti kebudayaan, pendidikan, semasa, tempat dan perbuatan.
Syariah
a) Menolak sebarang bentuk
kaifiat solat daripada hadis malahan beliau menganggap amalan solat ini telah
diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi. Seterusnya, bilangan waktu solat
hanyalah tiga kali sehari semalam dan bukan lima kali serta bilangan rakaat
yang boleh dikerjakan dengan minimum satu rakaat sahaja. Manakala, bahasa yang
digunakan semasa mengerjakan solat adalah tidak terhad kepada bahasa Arab
sahaja bahkan boleh menggunakan apa jua bahasa termasuk semasa membaca surah al-Fatihah.
b) Kassim Ahmad dalam satu
kenyataannya di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Ogos 1995, telah
menyatakan bahawa wanita Muslimah boleh memakai apa sahaja pakaian walaupun hal
keadaannya mendedahkan anggota tubuh badan dengan syarat ia hendaklah bersopan
dan tidak menyalahi adat serta budaya masyarakat setempat. Menurutnya, aurat
ialah menutup bahagian sulit yang menjadi perkara sumbang kepada masyarakat
jika didedahkan. Beliau juga turut menyebut bahawa tanda pada aurat ialah
wuduk. Dengan berasaskan penaakulan beliau, sekiranya kepala itu ditutup
nescaya Allah tidak menyuruh agar menyapunya.
Akhlak
a) Menurut Kassim Ahmad lagi,
apa-apa bentuk penghormatan, penghargaan mahupun kecintaan terhadap Rasulullah
S.A.W. tidak bermakna untuk mendewa-dewakan Baginda sehingga meletakkan
kata-kata dan perbuatan Baginda sebagai wahyu dan setaraf dengan al-Quran.
b) Seorang pengikut anti Hadis
bernama Wadan Kassim dalam tulisannya di dalam akhbar Berita Harian bertarikh
14 Julai 1995 telah meyamakan kedudukan ulama’ dengan pendita-pendita
berdasarkan pemahamannya terhadap ayat al-Quran.
c) Puan Kalsom Abd. Rahman telah
menulis sepucuk surat kepada BAHEIS bertarikh 15 Disember 1994 yang antara
lainnya menyatakan bahawa kedudukan Rasulullah S.A.W. adalah sama seperti
posmen yang hanya menyampaikan ajaran al-Quran tanpa perlu kepada sebarang
bentuk penghuraian mengenainya.
d) Golongan anti hadis ini tidak
menghuraikan penjelasan mereka menurut disiplin-disiplin ilmu yang telah
digariskan oleh Islam. Ia hanya menggunakan pendalilan secara aqli dan kaedah
saintifik semata-mata tanpa berpandukan al-Quran, Hadis, Ijma‘ Ulama’ dan
Qiyas. Di samping itu, mereka juga tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar
dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan perkara-perkara yang berkaitan dengan
akidah dan syariah. Malahan mereka hanya merujuk kepada buku-buku yang ditulis
oleh orientalis barat seperti Dr. Rashad Khalifa, Ignaz Goldziher dan Joseph
Schacht.
Wallahua'lam
Sumber:
PENYELEWENGAN ANTI HADIS
S.S TAN SRI DATO SERI (DR) HAJI HARUSSANI HAJI ZAKARIA
MUFTI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
**Kertas ini dibentangkan di Wacana Pengukuhan Nilai-Nilai Islam –Bicara dan Khutbah bersama Mufti pada 25 April 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
No comments:
Post a Comment