KOTA BHARU 23 Feb. - Golongan anti hadis kini berani menyemarakkan semula pemikiran dan hujah mereka pada saat umat Islam di negara ini dalam keadaan lemah akibat perpecahan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad berkata, golongan itu mengambil peluang untuk muncul kembali setelah melihat sebahagian masyarakat sedang 'terpukau' dengan konspirasi menghina Islam dalam pelbagai bentuk termasuk dalam isu kalimah Allah.
Beliau berkata, fikrah songsang yang dibawa golongan tersebut untuk menyesatkan umat Islam kini mula disebarkan melalui pelbagai saluran media setelah beberapa ketika memperlahankan aktiviti mereka.
"Golongan antihadis telah muncul menampakkan kegiatan songsang mereka dengan mengemukakan hujah basi yang telah ditolak oleh ulama dalam negara dan ulama besar peringkat antarabangsa bahawa pemikiran yang dicetuskan oleh mereka sebagai fikiran sesat dan menyesatkan.
"Muncul golongan ini di tengah-tengah sebilangan umat Islam yang terpukau dengan konspirasi menghina Islam dalam pelbagai bentuk, sesudah kalimah Allah dicetuskan sebagai isu, kini kedudukan Rasulullah, hadis dan ulama dijadikan sasaran dalam gerakan mengelirukan dan menyesatkan umat Islam.
"Janganlah kita menjadi seperti sebahagian orang yang menganggap pemikiran golongan anti hadis sebagai pembawa idea pemikiran besar, kita perlu sedar ini adalah salah satu daripada rangkaian konspirasi yang keluar satu demi satu untuk menyerang umat Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu bekas aktivis politik, Dr. Kassim Ahmad yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng dan menyamakan sistem ulama dengan kasta paderi dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian pada 15 dan 16 Februari di Putrajaya baru-baru ini.
Pada seminar tersebut, Kassim dilaporkan turut menyinggung perasaan umat Islam apabila mendakwa masyarakat kini melakukan beberapa kesalahan seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan ungkapan syahadah serta menyatakan bahawa rambut bukanlah aurat bagi wanita.
Mohammad Shukri menegaskan bahawa pengingkaran kepada hukum syarak yang telah disepakati dan dikenal pasti dalam agama contohnya mengingkari salah satu rukun akidah seperti keesaan Allah dan kenabian Nabi Muhammad SAW boleh menyebabkan murtad.
"Umat Islam akan jadi murtad jika mengucapkan ucapan yang membawa dan menyebabkan kekafiran.
"Melalui ucapan yang diyakini ataupun mempersendakan seperti mencela Tuhan (Allah), mencela ajaran agama, menafikan para rasul, mendustai salah seorang nabi atau rasul atau menghina salah satu hukum syarak," katanya.
Beliau menjelaskan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerusi Jamaah Ulama yang bersidang pada 25 November 1995 telah menfatwakan buku-buku yang dikeluarkan oleh kumpulan anti hadis adalah haram dan membawa kepada murtad.
"Justeru orang Islam dilarang mengamal ajaran, pegangan, fahaman, pemikiran yang terkandung dalam buku atau risalah, isi kandungan atau apa-apa dokumen, yang boleh mengaitkan kepada ajaran atau kefahaman tersebut.
"Saya ingin menarik perhatian seluruh umat Islam di dalam negeri Kelantan, khususnya dan Malaysia umumnya sama ada secara individu mahupun secara kumpulan supaya mengambil perhatian berat di atas penyebaran fikiran songsang ini.
"Jangan bersekongkol atau bersubahat mendukung ajaran, pegangan, fahaman dan pemikiran yang sesat dan menyesatkan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140224/dn_18/Umat-berpecah-%E2%80%8Epunca-puak-antihadis-muncul#ixzz3FSumIXJk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment